| Dana RM6.2 juta bantu program pembiakan |
|
Majlis pelancaran itu dilakukan serentak dengan pelancaran YOU, logo, laman web dan Piagam Pulau Orang Utan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Suboh Mohd. Yassin. Pelancaran YOU adalah antara langkah BMLR menjayakan usaha mengumpul dana sebanyak RM6.2 juta untuk membangunkan prasarana yang lengkap di Pulau Orang Utan. YOU itu dilihat sebagai penggerak kepada usaha perlindungan dan pengekalan alam sekitar supaya spesies Orang Utan terus dilindungi dan dikekalkan kewujudannya. Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YOU, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, usaha mengumpul dana berjumlah RM6.2 juta itu adalah semata-mata untuk menyelamatkan masa depan spesies Orang Utan. ''Usaha mengumpul dana ini juga adalah untuk membolehkan kita menjalankan usaha pembiakan dan konservasi orang utan. ''Kita memerlukan dana bagi meningkatkan kemudahan di Pulau Orang Utan di sini supaya proses pemeliharaan serta penyelidikan dapat berjalan dengan teratur dan terperinci," katanya. YOU diwujudkan sejak 14 Februari 2008 bagi menjalankan pemeliharaan dan penyelidikan anak Orang Utan yang lahir di Pulau Orang Utan. Tambah Mustapha, melalui usaha itu, Orang Utan yang dilahirkan akan dilepaskan ke habitat semula jadi bagi membolehkannya hidup secara normal apabila tiba waktunya. Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YOU, Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad berkata, sokongan dan kerjasama semua pihak penting bagi memastikan Orang Utan tidak pupus. Beliau berkata, 80 peratus daripada dana yang disumbangkan kepada YOU akan digunakan untuk melaksanakan program pemeliharaan, penyelidikan dan pembiakan orang utan di Pulau Orang Utan. ''Saya yakin dengan adanya sokongan dan sumbangan dana, hasrat untuk melestarikan pemeliharaan Orang Utan di sini akan mencapai kejayaan," katanya. Setakat ini, terdapat 23 ekor Orang Utan termasuk 12 ekor anak Orang Utan lahir di pulau itu sejak ia diwujudkan pada Februari 2000. Katanya, mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengetahui mengenai orang utan, kajian saintifik dan program YOU boleh melayari laman web: www.orangutanisland.org.my. Pada majlis tersebut, YOU dan Yayasan Pulau Banding iaitu yayasan yang mempelopori usaha memulihara Hutan Belum-Temengor di Gerik telah melantik penyanyi Dayang Nurfaizah sebagai duta pemeliharaan dan pengekalan alam semula jadi. Dayang Nurfaizah ketika ditemui pula memberitahu pemilihannya sebagai duta program berkenaan amat dihargai dan merupakan satu tanggungjawab besar bagi sama-sama melindungi Orang Utan. ''Saya teruja dan bangga dipilih sebagai duta dan ini merupakan satu tanggungjawab besar kepada saya. ''Sebagai anak Sarawak, saya akan memberikan maklumat mengenai Orang Utan dan kepentingan memelihara dan mengekalkan alam semula jadi demi kebaikan generasi masa depan," katanya. |
|||